JOM USRAH

JOM USRAH

Islamic Clock

Ana Muslim

Masih Kah Kau Ingat

Waktu Solat

Ahlan Wa Sahlan

Sabtu, 19 Disember 2009

SINAR PUNYA STATEMENT





Kesal tindakan MPSP roboh parkir

BANDAR PERDA – Sebilangan penduduk yang tinggal di Blok J, Pangsapuri Permata, di sini, kesal dengan tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) merobohkan tapak parkir berbumbung yang dibina menggunakan wang kutipan penduduk dan juga satu gerai menjual barangan basah bersebelahan parkir itu.

Wakil penduduk, Abdul Karim Salleh, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi Khamis lalu apabila satu jentera MPSP tiba bersama beberapa kakitangannya lalu merobohkan 16 lot parkir yang sehingga kini siap 80 peratus.

Menurutnya, perkara itu diketahui selepas dimaklumkan anaknya kerana ketika jentera tiba, beliau berada di Masjid Bandar Perda yang terletak berhampiran kawasan perumahannya.

“Kami bina lot parkir ini menggunakan duit kami sendiri. Sebanyak RM16,000 dikutip daripada 16 orang yang bersetuju untuk menggunakan parkir berbumbung ini. Ia juga hampir siap, bumbung semua dah pasang. Hanya tinggal nak buat tapak saja.

“Kami terkejut dengan tindakan tersebut kerana sebelum ini tiada sebarang notis dikeluarkan untuk merobohkan parkir ini. Lagipun, kami ada membuat permohonan kepada MPSP pada 8 Disember lalu, namun, tiada jawapan diberikan.

Selain itu, kami juga memohon membina parkir dengan pihak pemaju Aseania, dan mereka memberikan kebenaran. Lagipun semua pengurusan kini diambil alih oleh MPSP. Oleh sebab itu, bila MPSP tak bagi jawapan, kami teruskan juga membina parkir ini memandangkan parkir sedia ada tidak mencukupi untuk menampang jumlah kenderaan di kawasan perumahan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Justeru, beliau dan 15 penduduk lain yang terlibat ingin menuntut ganti rugi dan penjelasan dari pihak MPSP berhubung tindakan mereka itu.

Dalam pada itu, sebuah gerai menjual barangan basah yang terletak bersebelahan parkir itu turut dirobohkan dalam kejadian sama.

Pemiliknya, Mohd Helmi Abu Bakar, 34, berkata, dia amat kesal dengan tindakan MPSP merobohkan gerai miliknya kerana mereka dilihat mengambil tindakan itu dalam keadaan tergesa-gesa, tanpa sempat untuknya memindahkan barang-barang yang masih tertinggal di dalam kedai.

Menurutnya, memang beliau ada menerima notis pertama daripada MPSP kira-kira empat bulan lalu, memintanya untuk mengosongkan premis perniagaannya itu. Pun begitu, beliau ada memohon kepada MPSP melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan agar melanjutkan tempoh notis berkenaan hingga bulan Januari. Ini kerana, dalam tempoh tersebut beliau akan mencari tapak baru untuk berniaga.

“Notis kedua saya terima pada 15 Disember 2009 lalu. Saya tak perasan sebab notis tu ditampal di gerai, bukan diserahkan sendiri kepada saya. Kira-kira jam 11 malam baru saya perasan bila saya ke kedai. Jadi, saya tak sempat nak berbuat apa-apa mahupun merujuk perkara itu dengan MPSP sebab dah malam.

“Dan, pagi ini (kelmarin) mereka datang roboh gerai saya. Saya berniaga di situ secara sah. Saya ada memohon lesen untuk berniaga di situ, dan saya juga membayar sewa tapak sebanyak RM 30 sebulan kepada MPSP. Cuma baru empat bulan lepas saya membesarkan sikit gerai saya tu.

Mohd Helmi berkata, jumlah kerugian yang dialami akibat kejadian itu dianggarkan bernilai RM16,000.

Apa pun, beliau berharap agar MPSP dapat memberikan notis terus kepada pemilik agar pemilik lebih bersedia pada masa akan datang, bukannya dengan cara melekatkan notis itu di premis perniagaan.

Sementara itu, ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah ketika melawat tapak kejadian mencadangkan kepada MPSP supaya mengubah cara merobohkan sesebuah premis perniagaan mahu pun tapak pembinaan itu secara lebih efisien.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, ada dalam kalangan penduduk yang sanggup berjimat sehingga terpaksa mengehadkan bajet keluarga semata-mata mahu mengumpulkan wang untuk membina tapak parkir itu.

“Tak kisah kalau mereka nak runtuhkan premis, tapi berilah notis dahulu. Wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat (PR) kalau boleh turunlah padang untuk membantu serta mendengar keluhan rakyat.

“Saya rasa kesal dengan cara MPSP merobohkan parkir dan gerai ini, kerana rata-rata penduduknya adalah orang Melayu. MPSP sepatutnya membantu penduduk, bukannya menyusahkan lagi mereka. Lagipun, untuk gerai ini tempoh lanjutan diminta sehingga Januari, sekarang dah bulan Disember, seharusnya mereka bertolak ansur,” katanya.

Dalam perkembangan sama, wakil dari Pas turut meluahkan rasa simpati di atas kejadian yang berlaku.

Ketua Pas Cawangan Bandar Perda, Mohd Asre Jusoh, ketika menghubungi Sinar Harian berkata, MPSP seharusnya mengambil pendekatan dengan berbincang terlebih dahulu bersama penduduk sebelum sebarang tindakan diambil.

“Saya rasa perbincangan itu adalah jalan terbaik sebelum melaksanakan sesuatu tindakan. Saya bersimpati dengan penduduk yang terlibat dan berharap pengajaran dapat diambil dari insiden tersebut,” katanya.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails